Thursday, March 19, 2015

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN INTERNET KEPADA PELAJAR

Internet merupakan rangkaian maklumat antarabangsa yang terbesar di dunia yang memungkinkan kita saling bertukar informasi mahupun data maklumat. ’Dunia Tanpa Sempadan’ adalah satu istilah yang sinonim dengan internet.  Penggunaan jaringan internet kini semakin meluas ke serata dunia di era zaman moden ini. Pada masa kini, pelbagai kemudahan telah muncul kesan daripada pembangunan sains dan teknologi. Kemajuan teknologi semakin berkembang pesat dan maju dari hari ke hari. Segala kemudahan ini telah menjadikan kehidupan manusia maju ke hadapan. Setiap sesuatu benda atau perkara itu pasti ada kebaikan dan keburukannya. Sama juga seperti internet, ia juga mempunyai kebaikan dan juga keburukan jika menggunakannya terlalu kerap ia akan mengakibatkan ketagihan.
   Antara kebaikan penggunaan internet kepada pelajar ialah melalui internet, kita akan menerima maklumat dengan mudah dan pantas. Carian maklumat juga tidak dihadkan. Maklumat carian juga bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk bergambar rajah mahupun jadual, carta grafik, audio, animasi dan lain lain dalam bentuk media elektronik.  Melalui cara ini, pelajar lebih didedahkan kepada World Wide Web (www) untuk mencari maklumat yang dikehendaki. Dengan ini, pelajar tidak perlu ke perpustakaan kerana mereka boleh melayari internet di mana sahaja untuk mendapatkan maklumat yang mereka mahukan dengan kadar segera. Malah, penggunaan internet ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos seperti kos perbelanjaan dan juga kos-kos lain seperti kos pengangkutan. Sebagai contoh, jika pelajar mahu membuat rujukan tetapi tidak mencukupi wang untuk membeli buku, mereka boleh melayari internet sahaja untuk mencari sumber rujukan yang betul dan relevan. Dalam masa yang sama, ini dapat menjimatkan kos dan masa. Ia juga tidak membebankan pelajar mahupun mengganggu pembelajaran mereka.
   Selain itu,  pelajar juga dapat menambah kenalan daripada penggunaan internet. Hal ini kerana laman social seperti Facebook dan Twitter kini telah menjadi virus epidemik dalam kalangan pelajar di seantera dunia. Oleh itu, pelajar boleh bertukar-tukar maklumat mahupun pendapat melalui kenalan daripada laman sosial. Tambahan pula, pelajar boleh menggunakan internet sebaik-baiknya dengan mencari pelbagai latihan untuk dijadikan latihtubi untuk persediaan peperiksaan. Malah  jika pelajar stress dengan pembelajaran mahupun ujian dan peperiksaan mereka boleh mencari hiburan yang mampu mengurangkan stress mereka walaupun untuk seketika di internet.
   Di sebalik kecanggihan internet yang banyak memberikan kebaikan selaras dengan perkembangan semasa namun banyak juga keburukan yang boleh didapati di internet yang boleh meracuni minda pelajar masa kini. Antara keburukan internet terhadap pelajar ialah mereka bebas melayari laman web tanpa kawalan kerana internet dikatakan dunia tanpa sempadan. Bahan-bahan lucah sering menjadi kegilaan remaja kerana dapat dilayari tanpa kawalan.  Keseronokan menonton bahan lucah mendorong individu menjadi gila seks selain perlakuan ini bakal mengundang perlakuan seks bebas. Selain itu, internet juga dapat melekakan seseorang pelajar daripada fokus kepada proses pembelajarannya. Pelajar banyak menghabiskan masa dengan melayari laman web yang berbentuk hiburan semata-mata hanya untuk keseronokan yang tidak mendatangkan sebarang input. Masa yang patut diperuntukkan untuk mengulang kaji pelajaran terbuang begitu sahaja dengan melayari laman sosial seperti facebook,twitter dan sebagainya.
   Seterusnya, penggunaan internet secara berlebihan dan tanpa kawalan juga menyebabkan remaja menjadi malas untuk bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti kokurikulum seperti bersukan dan berpersatuan dapat menyihatkan badan  tidak mendapat sambutan daripada pelajar. Pelajar kini lebih suka menghabiskan masa di hadapan komputer. Malah  pelajar akan jadi malas kerana badan tidak aktif sewaktu di dalam kelas. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merosotkan prestasi pelajar sewaktu di dalam kelas.  Di samping itu, hal ini juga akan melahirkan pelajar yang kurang inovatif kerana kokurikulum menggalakkan aktiviti berpersatuan. Persatuan amatlah penting untuk pelajar supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan organisasi. Selain menjadikan remaja malas mengikuti aktiviti kokurikulum, penggunaan internet tanpa had juga mendedahkan pelajar kepada jenayah siber. Jenayah siber ini terdiri daripada unsur penipuan, kerosakan atau pengubahsuaian program atau data komputer, pencurian maklumat, penggodam dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, pelajar akan melakukan jenayah siber terhadap institusi mereka sendiri atau mereka diupah dan dipergunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan jenayah. Di samping itu, isu ini akan mempengaruhi minda pelajar dengan kenyataan kenyataan yang salah dari kenyataan yang tidak sepatutnya. Jenayah siber ini juga boleh merosakkan minda pelajar dari segi politil, terlalu banyak isu politik yang palsu terdedah di internet mengakibatkan tanggapan remaja kepada ahli politik menjadi negatif serta merta. Ia akan melahirkan pelajar yang tidak produktif hasil dari penipuan di internet.
   Kesimpulannya, pengaruh ICT dalam tahap kemodenan dan kehidupan masa kini tidak dapat dielakkan dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan khususnya generasi muda  atau pelajar. Ianya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden kini yang akan terus meningkat penggunaan dan pengaruhnya dari masa ke semasa. Oleh itu, pihak tertentu perlulah mengambil tindakan untuk mengawal secara rapi penggunaan internet dalam kalangan pelajar supaya pelajar tidak cenderung kepada masalah social. Malah, dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pendidikan dan budaya mestilah juga meletakkan isu salah guna dan kesan negatif internet ini sebagai suatu yang penting bagi pemodenan dan pembangunan Negara bangsa Malaysia. 

KEMURUNGAN

Kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga emas tetapi ianya sering melibatkan remaja.  Ia melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau  putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu. Selain dari terganggu  emosi, individu berkaitan juga akan terganggu fungsi fizikal dan interaksi sosialnya. Rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi  dan kaunseling perlu diberi seawal mungkin kepada  mereka yang terlibat. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa sering menganggap keadaan emosi yang tidak menentu dan masalah kemurungan adalah sebahagian daripada proses tumbesaran mereka. Ia adalah satu kelakuan yang normal bagi remaja dan ada di antara mereka yang berkata “apa lagi yang anda boleh jangkakan dari seorang remaja belasan tahun?”. Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan anda, banyak lagi yang boleh anda jangkakan dan yang pastinya, anda boleh berbuat lebih daripada hanya berdiri dan mengangkat bahu. Kami tidak berniat untuk menakut-nakutkan anda, tetapi anda perlu tahu mengenai kajian statistik yang dijalankan di Amerika Syarikat mengenai perkara ini. Kira-kira 17 juta orang di Amerika Syarikat daripada semua peringkat umur mengalami masalah mental pada tahap-tahap yang berlainan setiap tahun! Dalam umur remaja, jumlah ini adalah mengejutkan iaitu setiap seorang daripada lapan kanak-kanak! Ini membuatkan kemurungan adalah satu daripada masalah kesihatan mental yang paling biasa pada setiap ketika.
Secara amnya, terdapat tiga jenis kemurungan, yang pertama ialah kemurungan major. Seorang individu yang mengalami major depression tidak berupaya merasa keseronokan atau kebahagiaan. Dia sentiasa merasa seperti dunia ini sentiasa menentangnya. Tidak kira apa yang anda lakukan, individu tersebut akan terus berapa sedih dan murung. Jenis kemurungan ini kekal lama dan boleh menjejaskan individu ini pada setiap jam setiap hari.
Kemurungan yang kedua pula dipanggil dysthymia. Apabila seorang individu merasa sedih dan murung dan kemudian gembira secara bertukar ganti sepanjang satu tempoh masa tertentu seperti satu tahun contohnya, individu tersebut mungkin mengalami dysthymia. Kebiasaannya, kemurungan jenis ini mudah diubati dan ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka merasa bahawa ada lebih lagi dalam hidup ini daripada perkara-perkara menyedihkan yang dialami mereka. Biasanya, remaja merasa bahawa masalah mereka tidak boleh diselesaikan dan mereka sentiasa berenang melawan arus. Dengan membantu mereka memahami gambaran sebenar dan memberikan mereka harapan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan mudah.
 Seorang remaja yang mengalami masalah gangguan emosi yang bertukar ganti mungkin mengalami masalah Bipolar disorder. Perbezaannya ialah remaja yang mengalami Bipolar disorder mengalami intermittent low-energy depression, kemudian diikuti dengan uncharacteristic temper tantrums dan perlakuan ganas.
Terdapat banyak sebab bagi kemurungan dan adalah tanggungjawab kita semua untuk mengenalpasti sebab itu. Jika keadaan mereka tidak begitu serius, biasanya ia boleh diubati dengan menawarkan bahu untuk mereka bergantung dan pelukan mesra setiap hari. Tetapi jika anda rasa bahawa tiada apa yang anda lakukan dapat membantu individu tersebut, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan bantuan profesional.
Antara tanda-tanda kemurungan ialah merasa kesedihan, kepiluan, kesepian dan jiwa kosong yang berpanjangan. Selain itu, gangguan tidur iaitu sukar tidur (imsonia) atau . berlebihan tidur dan cepat letih, lesu dan tidak bermaya atau bertenaga. Selanjutnya, gangguan selera makan iaitu hilang selera atau makan berlebihan dan amat sensitive, individu ini selalunya seorang yang pendiam  dan suka mengasingkan diri. Seterusnya, hilang semangat seperti putus asa atau putus harapan dan hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokkan. Tambahan pula, individu ini akan sentiasa merasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang belaku. Kadang kala mereka akan merasa seperti hidup tidak bermakna  dan lebih baik mati (ini tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri). Ini menyebabkan pesakit tidak cenderung untuk mengurus diri dan dan membiarkan kesihatan dan keselamatan diri terganggu.   Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri  boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan. Tanda yang ketara ialah rasa tidak tenteram dan mudah marah. Mereka juga akan kurang daya tumpuan dan sukar membuat keputusan. Simptom-simtom fizikal pula seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit sendi dan gangguan penghadaman, loya serta semput) 
Antara langkah-langkah untuk mengatasi kemurungan ini ialah dengan mendapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku  salah satu simpton kemurungan. Jangan tunggu sehingga semua  simpton tersebut berlaku.  Keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Kita juga boleh menbawa individu tersebut bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis , kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan membantu. Seterusnya, bagi individu yang mengalami kemurungan hendaklah sentiasa hargai, sayangi, dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan  mendekatkan diri  kepada Allah, pasrahkan diri dan redha  dengan ketentuanNya. Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Allah akan memberi yang terbaik, selagi kita memohon kepadaNya, akan ada hikmah disebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita. Perkara yang paling penting ialah elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan.Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Allah dengan berzikir. Selanjutnya, jika terasa ingin menagis, menangislah untuk menghilangkan  sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia.  Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan akan didengar  oleh perasaan kita. Ia boleh melemahkan perasaan. Selain itu, libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa selesa dan tenang.

Bagi individu yang rapat dengan si pemurung pula, anda seharusnya meluangkan lebih masa dengan mereka, berbual-bual dan menganalisa perkara-perkara yang mengganggu fikiran mereka. Mereka seharusnya dibenarkan bercakap lebih banyak dan anda sepatutnya menjadi pendengar. Beritahu dia berulang kali bahawa anda sentiasa di sisinya apabila dia memerlukan anda, dan jangan jemu berkata demikian. Jika dia tidak memperdulikan anda, teruskan memberitahunya bahawa anda bersedia membantunya. Lama-kelamaan mesej ini akan masuk juga ke kepalanya. Tetapi berhati-hatilah supaya tidak masuk campur dalam kehidupan mereka. Salah satu cara menangani kemurungan ialah dengan membuatkan seseorang yang murung itu merasa bahawa perasaan mereka penting kepada orang lain, terutamanya kepada seseorang yang menyayangi dan mengambil berat tentang mereka. Ini termasuklah ibu bapa dan rakan-rakan.

Tuesday, September 16, 2014

Kebaikan Makan Coklat

    Coklat adalah sejenis makanan yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman kerana khasiat yang terdapat di dalamnya. Namun begitu, masih ada sebilangan masyarakat yang tidak menyukai makanan seperti coklat kerana bagi mereka coklat ini hanya akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan mereka. Hal ini jelas sekali salah kerana hasil kajian mendapati bahawa coklat mempunyai banyak kebaikan.
    Antara kebaikan coklat adalah ia dapat melegakan otot. Hal ini demikian kerana coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B, C, dan D. Oleh itu, masyarakat yang sering bersenam digalakkan untuk mengambil coklat sebagai pemberi tenaga dan untuk meningkatkan tahap pembinaan semula tisu otot dengan cepat. Malah, hasil penyelidikan mendapati bahawa coklat dapat memberikan perasaan yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira ini dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut. Dengan ini, masyarakat yang bertenaga dan sentiasa gembira dapat dilahirkan.
    Selain itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks. Hal ini demikian kerana bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa bekerja tanpa mengira masa digalakkan supaya memakan coklat untuk memastikan diri sentiasa bertenaga. Malah, hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Dengan ini, masyarakat yang mindanya tajam dapat dilahirkan.
    Seterusnya, coklat mampu melanjutkan usia seseorang itu dan melambatkan proses penuaan individu yang selalu memakannya. Hal ini demikian kerana sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat. Oleh itu, individu yang melakukan pekerjaan yang memerlukan mereka sentiasa cantik dan awet muda hendaklah memakan coklat tetapi mengikut kadar yang betul. Malah, coklat juga boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya yang mampu mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam jantung. Dengan ini, kadar masyarakat yang menghidapi penyakit strok dapat dikurangkan.
    Selanjutnya, kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk. Hal ini demikian kerana ramuan dalam coklat  yang dipanggil "theobromine" mampu mengurangkan aktiviti sarah vagus. Oleh itu, bagi kanak-kanak atau orang dewasa yang mangalami batuk tetapi tidak suka makan ubat, bolehlah menggantikannya dengan coklat. Malah, penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Dengan ini, masyarakat tidak perlulah memaksa diri atau anak-anak mereka untuk memakan ubat jika megalami batuk kerana mereka boleh menggantikan ubat itu dengan coklat.
    Kesimpulannya, memakan coklat banyak memberikan kebaikan kepada setiap individu. Hal ini demikian kerana sejumlah besar koko yang dinikmati dalam bentuk coklat lazat rasanya dan mengandungi kebaikan semula jadi. Malah secara perbandingan, sekeping coklat susu mengandungi lebih kandungan protein berbanding dengan sebiji pisang, sebatang lobak merah, sebiji oren, sebiji epal atau sejumlah kismis dengan berat yang sama. Kajian telah membuktikan bahawa coklat mengandungi khasiat makanan seimbang. Oleh itu, masyarakat tidak perlulah takut untuk menikmati kelazatan coklat. Namun begitu, masyarakat masih perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.

Bencana alam


PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA BENCANA ALAM:

Dewasa ini, kita seringkali digemparkan dengan berita bencana alam yang berlaku tidak kira dalam Negara mahupun di luar Negara. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini sering terpampang di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen. Namun begitu, kebanyakan manusia pada masa kini tidak lagi peduli tentang kejadian-kejadian ini dan menganggap bahawa perkara ini hanya sesuatu yang remeh.  Tidak dinafikan lagi bahawa kejadian bencana alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan dan sudah menjadi lumrah dunia dan sudah pasti kita tidak mampu untuk menghalangnya. Namun kita sebagai manusia haruslah mengenal pasti punca belakunya kejadian bencana alam ini dan menyelidiknya secara terperinci agar langkah yang efektif dapat diambil untuk mengurangkan kesan-kesan buruk yang berlaku disebabkan oleh bencana alam ini.
    Punca ketara yang menyebabkan berlakunya bencana alam ini adalah kemusnahan alam yang disebabkan oleh aktiviti harian manusia seperti pembalakan. Aktiviti pembalakan memang merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak memikirkan kesannya sebelum menebang pokok. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini pastinya akan mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
     Seterusnya, tingkah laku manusia yang tidak bermoral seperti membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan sesuka hati juga turut menyumbang kearah berlakunya bencana alam. Hal ini demikian kerana sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Oleh itu, perkara ini jelas membuktikan bahawa sikap angota masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi punca becana alam berlaku.
     Punca lain yang menyebabkan bencana alam ini berlaku kebiasaannya disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar dan mudah runtuh.
    Malah, kejadian bencana alam kini mula dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam tempoh masa tertentu. Secara sedar ataupun tidak pemanasan global ini menjadi salah satu punca berlakunya kejadian tsunami. Hal ini demikian kerana  asap-asap yang dibebaskan oleh kenderaan dan kilang menyebabkan suhu di bumi naik dan ini akan menyebabkan ais di kawasan artartika mencair. Malah ais yang mencair ini akan menyebabkan paras air laut meningkat lalu terjadinya kejadian tsunami.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN RISIKO DAN KESAN BURUK BENCANA ALAM:

Sistem amaran awal bencana merupakan satu langkah yang diperlukan bagi mengelakkan masalah bencana alam berulang. Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam dengan terlebih dahulu. Dalam kes bencana tsunami misalnya, sistem tersebut boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan tsunami berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”.Seterusnya pihak kerajaan hendaklah menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan menimpa kepada masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Hal ini demikian supaya masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta.
    Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga seharusnya mendidik para pelajar tentang cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan satu sukatan pelajaran baru yang bertemakan Bencana Alam dalam Pendidikan Moral mahupun Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan. Melalui kaedah ini, pendedahan awal tentang cara-cara menghadapi bencana alam dapat diberikan kepada pelajar. Selanjutnya, kegiatan unit beruniform di sekolah juga dapat membina individu yang berfizikal lasak dan memiliki ketahanan yang kuat. Pelajar-pelajar juga diberi ilmu pertolongan cemas dan diajar bahasa isyarat yang boleh diaplikasikan semasa sesuatu bencana alam berlaku. Dengan diikuti kegiatan kokurikulum di sekolah, para pelajar dapat menggambarkan situasi sebenar bencana alam dan mampu membuat pertimbangan akal yang wajar.
    Selain itu kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar haruslah memperketatkan undang-undang tentang pembinaan bangunan tinggi di lereng-lereng bukit. Malah kerajaan sepatutnya mengharamkan terus pembinaan bangunan tinggi di lereng-lereng bukit sekiranya mendapati bahawa pihak pemaju tidak menghiraukan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Tambahan pula pemaju perumahan yang ingkar mesti digantung lesennya. Akhir sekali, kerajaan haruslah menggubal pelbagai undang-undang yang berkaitan dengan kegiatan pembalakan dan menguatkuasakannya melalui Jabatan Perhutanan.