Coklat adalah sejenis makanan yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia. Coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan dan minuman kerana khasiat yang terdapat di dalamnya. Namun begitu, masih ada sebilangan masyarakat yang tidak menyukai makanan seperti coklat kerana bagi mereka coklat ini hanya akan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan mereka. Hal ini jelas sekali salah kerana hasil kajian mendapati bahawa coklat mempunyai banyak kebaikan.
Antara kebaikan coklat adalah ia dapat melegakan otot. Hal ini demikian kerana coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksidan, kalsium, fosfat dan vitamin A, B, C, dan D. Oleh itu, masyarakat yang sering bersenam digalakkan untuk mengambil coklat sebagai pemberi tenaga dan untuk meningkatkan tahap pembinaan semula tisu otot dengan cepat. Malah, hasil penyelidikan mendapati bahawa coklat dapat memberikan perasaan yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira ini dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut. Dengan ini, masyarakat yang bertenaga dan sentiasa gembira dapat dilahirkan.
Selain itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan relaks. Hal ini demikian kerana bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Oleh itu, masyarakat yang sentiasa bekerja tanpa mengira masa digalakkan supaya memakan coklat untuk memastikan diri sentiasa bertenaga. Malah, hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat aromanya mampu merehatkan minda seseorang. Dengan ini, masyarakat yang mindanya tajam dapat dilahirkan.
Seterusnya, coklat mampu melanjutkan usia seseorang itu dan melambatkan proses penuaan individu yang selalu memakannya. Hal ini demikian kerana sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali sebulan, mereka diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak memakan coklat. Oleh itu, individu yang melakukan pekerjaan yang memerlukan mereka sentiasa cantik dan awet muda hendaklah memakan coklat tetapi mengikut kadar yang betul. Malah, coklat juga boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana fungsinya yang mampu mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam jantung. Dengan ini, kadar masyarakat yang menghidapi penyakit strok dapat dikurangkan.
Selanjutnya, kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai untuk melegakan batuk. Hal ini demikian kerana ramuan dalam coklat yang dipanggil "theobromine" mampu mengurangkan aktiviti sarah vagus. Oleh itu, bagi kanak-kanak atau orang dewasa yang mangalami batuk tetapi tidak suka makan ubat, bolehlah menggantikannya dengan coklat. Malah, penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran pernafasan di dalam paru-paru. Dengan ini, masyarakat tidak perlulah memaksa diri atau anak-anak mereka untuk memakan ubat jika megalami batuk kerana mereka boleh menggantikan ubat itu dengan coklat.
Kesimpulannya, memakan coklat banyak memberikan kebaikan kepada setiap individu. Hal ini demikian kerana sejumlah besar koko yang dinikmati dalam bentuk coklat lazat rasanya dan mengandungi kebaikan semula jadi. Malah secara perbandingan, sekeping coklat susu mengandungi lebih kandungan protein berbanding dengan sebiji pisang, sebatang lobak merah, sebiji oren, sebiji epal atau sejumlah kismis dengan berat yang sama. Kajian telah membuktikan bahawa coklat mengandungi khasiat makanan seimbang. Oleh itu, masyarakat tidak perlulah takut untuk menikmati kelazatan coklat. Namun begitu, masyarakat masih perlu berhati-hati kerana pengambilan coklat yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.
Tuesday, September 16, 2014
Bencana alam
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA BENCANA ALAM:
Dewasa ini, kita seringkali
digemparkan dengan berita bencana alam yang berlaku tidak kira dalam Negara
mahupun di luar Negara. Berita-berita yang menyedihkan hati kita ini sering
terpampang di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen. Namun begitu, kebanyakan
manusia pada masa kini tidak lagi peduli tentang kejadian-kejadian ini dan
menganggap bahawa perkara ini hanya sesuatu yang remeh. Tidak dinafikan lagi bahawa kejadian bencana
alam ini sesuatu takdir yang sudah ditentukan oleh Tuhan dan sudah menjadi
lumrah dunia dan sudah pasti kita tidak mampu untuk menghalangnya. Namun kita
sebagai manusia haruslah mengenal pasti punca belakunya kejadian bencana alam ini
dan menyelidiknya secara terperinci agar langkah yang efektif dapat diambil
untuk mengurangkan kesan-kesan buruk yang berlaku disebabkan oleh bencana alam ini.
Punca ketara yang menyebabkan
berlakunya bencana alam ini adalah kemusnahan alam yang disebabkan oleh
aktiviti harian manusia seperti pembalakan. Aktiviti pembalakan memang
merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, namun antara sedar ataupun
tidak, aktiviti ini menjadi faktor berlakunya bencana alam. Individu-individu
yang terbabit dalam aktiviti pembalakan tidak memikirkan kesannya sebelum
menebang pokok. Kawasan hutan yang telah ditebang dan jika tidak
digantikan dengan anak pokok yang baharu, pasti akan terdedah kepada hujan dan
menyebabkan hakisan tanah berlaku. Keadaan ini pastinya akan mengakibatkan
kejadian tanah runtuh.
Seterusnya, tingkah laku manusia
yang tidak bermoral seperti membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dengan
sesuka hati juga turut menyumbang kearah berlakunya bencana alam. Hal ini
demikian kerana sistem perparitan akan tersumbat oleh sampah sarap yang dibuang
ke dalam sungai dan longkang. Masalah sistem perparitan yang tersumbat ini pula
akan menyebabkan banjir kilat berlaku. Oleh itu, perkara ini jelas membuktikan
bahawa sikap angota masyarakat yang tidak bertanggungjawab menjadi punca becana
alam berlaku.
Punca lain yang menyebabkan
bencana alam ini berlaku kebiasaannya disebabkan oleh aktiviti pembangunan yang
tidak terancang di lereng-lereng bukit. Keadaan ini sudah tentu menimbulkan
keadaan yang tidak selamat dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sebagai
contohnya, sebanyak 14 buah rumah banglo di Bukit Antarabangsa musnah akibat
tanah runtuh dan mengorbankan empat nyawa pada 6 Disember 2008 yang lalu. Hal
ini disebabkan oleh pihak pemaju yang membangunkan kawasan tersebut tidak
mengambil langkah-langkah keselamatan untuk mengelakkan berlakunya kejadian
tanah runtuh. Mereka tidak membuat sistem perparitan yang sempurna untuk
menyalurkan air atau membina tembok konkrit untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh. Perkara ini penting dilakukan kerana kebanyakan kejadian tanah runtuh
berlaku akibat pergerakan air di dalam tanah yang menyebabkan tanah itu longgar
dan mudah runtuh.
Malah, kejadian bencana alam kini mula
dikaitkan dengan pemanasan global yang dikatakan menjadi sesuatu perkara lazim
dalam peredaran usia bumi ini. Kajian saintis telah membuktikan bahawa bumi ini
pasti akan mengalami satu perubahan yang drastik dalam iklim global dunia dalam
tempoh masa tertentu. Secara sedar ataupun tidak pemanasan global ini menjadi salah
satu punca berlakunya kejadian tsunami. Hal ini demikian kerana asap-asap yang dibebaskan oleh kenderaan dan
kilang menyebabkan suhu di bumi naik dan ini akan menyebabkan ais di kawasan
artartika mencair. Malah ais yang mencair ini akan menyebabkan paras air laut
meningkat lalu terjadinya kejadian tsunami.
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN RISIKO DAN KESAN BURUK BENCANA ALAM:
Sistem amaran awal bencana merupakan
satu langkah yang diperlukan bagi mengelakkan masalah bencana alam berulang.
Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam
dengan terlebih dahulu. Dalam kes bencana tsunami misalnya, sistem tersebut
boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan tsunami berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam
menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi
rakyat, bak kata pepatah, “sediakan
payung sebelum hujan”.Seterusnya pihak kerajaan hendaklah
menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan menimpa kepada
masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Hal ini
demikian supaya masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi
bencana alam serta-merta.
Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga seharusnya mendidik para pelajar
tentang cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Kementerian Pelajaran perlu mewujudkan satu sukatan pelajaran baru yang
bertemakan Bencana Alam dalam Pendidikan Moral mahupun Pendidikan Sivik Dan
Kewarganegaraan. Melalui kaedah ini, pendedahan awal tentang cara-cara menghadapi
bencana alam dapat diberikan kepada pelajar. Selanjutnya, kegiatan unit
beruniform di sekolah juga dapat membina individu yang berfizikal lasak dan
memiliki ketahanan yang kuat. Pelajar-pelajar juga diberi ilmu pertolongan
cemas dan diajar bahasa isyarat yang boleh diaplikasikan semasa sesuatu bencana
alam berlaku. Dengan diikuti kegiatan kokurikulum di sekolah, para pelajar
dapat menggambarkan situasi sebenar bencana alam dan mampu membuat pertimbangan
akal yang wajar.
Selain itu kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar haruslah memperketatkan
undang-undang tentang pembinaan bangunan tinggi di lereng-lereng bukit. Malah kerajaan
sepatutnya mengharamkan terus pembinaan bangunan tinggi di lereng-lereng bukit
sekiranya mendapati bahawa pihak pemaju tidak menghiraukan peraturan-peraturan
yang ditetapkan. Tambahan pula pemaju perumahan yang ingkar mesti digantung
lesennya. Akhir sekali, kerajaan haruslah menggubal pelbagai undang-undang yang
berkaitan dengan kegiatan pembalakan dan menguatkuasakannya melalui Jabatan
Perhutanan.
Subscribe to:
Posts (Atom)